Latar belakang Hari Kemerdekaan Sarawak

Bendera Kerajaan Sarawak digunakan sebagai bendera Sarawak yang pertama selepas mencapai pemerintahan kerajaan sendiri pada 22 Julai 1963

Pada asalnya sejak kurun ke 15, Sarawak dijajah Kesultanan Brunei dari utara. Namun pada tahun 1841, pembesar Brunei di Sarawak meminta bantuan daripada Charles Brooke, seorang pelayar England kerana pembesar Brunei di Sarawak gagal menghadapi tentangan penduduk asli Dayak Iban. Sebagai balasan, Sarawak pun diserahkan kepada pemerintahan Rajah Brooke[11][12]. Hal ini telah membangkitkan kemaraan orang asli Dayak Iban. Orang Iban telah bangkit menentang penjajahan asing di Sarawak selama berabad-abad. Beberapa pahlawan Iban yang terkenal adalah seperti Raja Berani Rentap Tanah Runtuh Menua atau Raja Ulu, Raja Berani Bantin Ijau Lelayang, Unal Bulan, Sabok Gila Berani, Matahari, Pemanca Dana Bayang, Nanang dan beribu-ribu pahlawan Iban yang lain demi melawan kuasa asing.

Selepas berakhirnya Perang Dunia II, wilayah ditadbir oleh Pentadbiran Tentera British, kemudian menjadi Tanah Jajahan pada tahun 1946. Pemindahan wilayah pentadbiran kolonial telah membawa kepada bantahan besar-besaran oleh rakyat Sarawak yang mahu kemerdekaan Sarawak dipulihkan. Ini membawa kepada pembunuhan Duncan Stewart, gabenor kedua Tanah Jajahan, oleh Rosli Dhobi, yang telah ditangkap dan kemudiannya dihukum gantung kerana membunuh. Jawatan Gabenor digantikan oleh Anthony Abell, yang juga menjadi salah satu daripada ahli-ahli untuk Suruhanjaya Cobbold yang membawa Sarawak dan Borneo Utara ke dalam Persekutuan Malaysia.

Sarawak telah diberikan pemerintahan sendiri pada 22 Julai 1963,[2] dengan jangkaan bahawa ia akan bersama untuk membentuk Persekutuan Malaysia pada 16 September tahun yang sama (1963).[13] Alexander Waddell, Gabenor terakhir Tanah Jajahan, meninggalkan Astana dan menaiki sampan putih untuk menyeberangi Sungai Sarawak, kemudian menyerahkan pentadbiran Sarawak kepada rakyat Sarawak, dengan bendera Kolonial diturunkan dan bendera Sarawak dinaikkan.[14][15] Sebelum beliau pergi, Gabenor melantik Stephen Kalong Ningkan sebagai Ketua Menteri Sarawak yang pertama.[15][16] Pada 2016, Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Adenan Satem mengumumkan 22 Julai sebagai cuti umum di Sarawak bermula dari 2016.[17]

Rujukan

WikiPedia: Hari Kemerdekaan Sarawak http://asiapacific.anu.edu.au/newmandala/2013/07/2... http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2... http://www.ijern.com/journal/January-2014/46.pdf http://www.mysinchew.com/node/76245 http://www.theborneopost.com/2013/07/22/sarawak-br... http://www.themalaymailonline.com/opinion/khairie-... http://www.themalaymailonline.com/what-you-think/a... http://www.bharian.com.my/node/146631 http://www.thestar.com.my/News/Community/2013/07/2... http://www.jkm.sarawak.gov.my/modules/web/news_vie...